Monday, March 05, 2012

Hey! BIFIL (Ep. 2)

Episod 2: Tujuh Budak Surau

Alhamdulillah!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ops! Jangan salah sangka. Ini bukan laungan kemerdekaan 31 Ogos. Tetapi ini laungan sempena merdeka dari zaman penjajahan kertas-kertas SPM.

Ya, aku ingin coretkan kisah sesudah aku tamat pengajian sekolah menengah. Namun jangan risau. Kisahku belum merdeka. Masih banyak yang ingin kukongsikan kepada anda.

Post yang lepas, bahagian mana yang kita berhenti?

...
...
...

Oh, ya! Baru aku teringat. Tentang projek VMJ yang telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi BADAR.

Adapun kisah itu ketika aku masih tingkatan empat. Lebih spesifik lagi, ketika aku di pertengahan semester kedua persekolahan.

Cerpen bersiri VMJ tamat sebelum peperiksaan akhir tahun. Cuba bayangkan, berapa banyak episod yang diterbitkan dari cerpen ini. Bermula dari bulan Julai sehingga awal bulan September.

Apabila aku naik ke tingkatan lima, aku mulai perlahan dalam aktiviti BADAR. Pihak sekolah tidak menggalakkan pelajar SPM untuk memegang banyak taklifan.

Fokusku lebih banyak kepada pelajaran serta urusan-urusan mengisi borang untuk lanjutan pengajian selepas tamat persekolahan. Okey, berhenti cerita tentang tingkatan lima dan yang seumpama dengannya.

Aku nak bawa anda kepada topik yang lebih serius tentang aku dan Akhi Qalam. Aku ulang. Topik tentang aku dan Akhi Qalam.


Alah! Anda dah lupakah? Akhi Qalam tu penulis cerpen bersiri VMJ. Walaupun cerpen itu sudah lama berakhir, namun Virus Merah Jambu yang melanda hatiku baru saja bermula sejak...

“SPM dah tamat! Boleh bercuti sepuas hati!” aku melonjak kegembiraan sebaik masuk ke dalam bilik.

Malam selepas aku balik rumah kuluangkan dengan ber-Facebook dengan budak-budak lepasan SPM yang lain. Muslimat sahaja, okey! Kalau melibatkan kaum Adam, boleh menimbulkan ikhtilat siber. Itu merupakan antara mesej dalam cerpen bersiri VMJ.

Oh, ya! Baru teringat. Menyentuh bab cerpen bersiri VMJ, aku sebenarnya sudah lama tak menjenguk laman akhi-qalam.blogspot. Entah apalah post terkini Akhi Qalam agaknya.

Jemariku pun lancar menaip alamat blog tersebut. Sebaik laman blog itu muncul sepenuhnya, gambar pertama yang kulihat ialah...

“Gambar abah?!”

“Assalamualaikum.” Abah tiba-tiba muncul di balik pintu rumah.

“Waalaikumussalam.” Baru saja nampak gambar abah dalam blog, terus abah muncul. Macam rancangan silap mata.

“Abah, macam mana gambar abah boleh masuk dalam blog...”

“Sarah, ada tetamu lelaki datang.” Abah memotong ayatku sambil mengisyaratkan kepadaku untuk masuk ke dalam bilik.

Bergegas aku masuk ke bilik. Nasib baik abah beritahu awal-awal. Kalau tidak, ternampaklah auratku di hadapan tetamu tersebut. Siapalah agaknya yang datang ke rumah aku ni? Mesti budak-budak surau yang selalu melekat dengan abah aku ni.

“Kamu reti cara nak install Adobe Photoshop yang terbaru, kan?” suara abah kedengaran.

“Kita serahkan Muidz, pakar komputer, untuk buat kerja dia. Hehe…”

“Habis, kalau aku seorang je buat kerja, kamu yang lain buat apa?”

“Ziarah ustaz.”

“Ha’ah. Kononnya aku percayalah sangat cakap kamu. Ustaz, mereka ni ada niat tersembunyi nak datang rumah ustaz.”

“Tak mengapalah. Ustaz pun suka tengok kamu datang rumah ustaz ni. Asyik-asyik bermuzakarah di anjung surau je. Hah, kali ni dapat berkongsi ilmu di rumah ustaz, sambil minum-minum.”

“Hah! Itulah niat tersembunyi mereka, ustaz!”

Suara tawa memenuhi ruang tamu.

“Eh, blog Akhi Qalam?!”

Alamak! Aku lupa tutup blog yang aku baca tadi!

“Siapa yang baca blog ni, ustaz?”

“Anak perempuan ustaz, rasanya. Tadi dia yang guna komputer ni sebelum kamu masuk.”

“Oooh!” serentak budak-budak surau itu mengungkap ‘oh’.

Sengal! Gerutuku dalam hati.

“Ustaz nak tahu... saya kenal rapat dengan orang yang menulis blog Akhi Qalam ni. Dia pun student MAS jugak.”

HAH?! Akhi Qalam ialah pelajar MAS? Maksudnya... dia tinggal di kawasan perumahan aku!

“Oooh!” giliran abah pula ber-oh. “Hmm... apa kata kita selesaikan kerja meng-install Adobe Photoshop ni terlebih dahulu.”

“Ha-ah. Nyaris terlupa tujuan asal ke sini.”

Eh! Eh! Kejap! Ceritalah lebih lanjut lagi pasal Akhi Qalam yang kamu kenal tu! Pintaku dalam hati. Haish, abah ni pun.

Kenapalah terburu-buru sangat nak install Adobe Photoshop tu? Kasihanilah anak dara abah ni. Teringin nak tahu latar Akhi Qalam. Please, abah! Please! Buka topik pasal dia lagi.

Malangnya, abah langsung tidak berminat untuk bertanya lebih lanjut tentang Akhi Qalam. Huhu... tersedu dalam hatilah nampaknya aku. Sob... sob... sob... (kesat air mata palsu).

Eh, sekejap! Akhi Qalam merupakan student MAS. Hostel student MAS terletak di kawasan perumahan yang sama dengan aku. Bukankah ini bermakna... aku boleh membongkar identiti sebenar beliau!

p/s: Beliau? Macam merujuk kepada orang yang sudah berumur pulak. Huhu!

***

“Abah, berapa ramai yang datang rumah kita tadi?” tanyaku setelah memastikan tiada tetamu di ruang tamu.

“Tujuh orang,” jawab abah acuh tak acuh.

“Mereka tu siapa, abah?”

“Budak-budak yang rajin ke surau. Merekalah yang selalu tolong mengimarahkan surau kariah kita ni. Kalau ada program, mereka jugak yang ringan tulang beri pertolongan.”

Masya ALLAH! Pujiku sendirian.

“Awak pula Sarah, lain kali datanglah jenguk-jenguk surau tu. Banyak kuliah pengajian dijalankan di situ. Masa awak pun takdelah terbuang sia-sia.”

Adeh! Tiba-tiba je abah rajin nak basuh aku.

“Abah, Sarah dapat ‘cuti’ bulananlah. Insya ALLAH kalau tiada halangan, Sarah pergi.”

Teringat pula aku kenangan ketika Tamrin Tingkatan Dua di sekolah lama dulu. Kakak fasi pernah buat perkongsian tentang generasi muda yang mengimarahkan masjid.

Antara hadis yang menjadi sisipan dalam tazkirahnya ialah, sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya; “Mana sahaja daripada suatu masyarakat yang berkumpul daripada rumah-rumah Allah AWJ (masjid-masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada disisiNya”. (H.R. Ahmad)

“Ukhti,” seorang pelajar wanita mengangkat tangan untuk bertanya. “Bukankah ada pendapat yang mengatakan wanita tidak perlu ke masjid?”

Kakak fasi yang juga merupakan alumni pelajar sekolahku itu tersenyum sebelum menjawab penuh hemah. “Adik-adik yang akak sayangi, ayuh dengarkan pesanan akak ini;

Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada hanyalah meyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi s.a.w. yang mafhumnya; “Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik[1]”.

Bahkan mereka juga perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid, walaupun pada malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar; “Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada malam hari[2]”.”

Alhamdulillah pesanan itu masih segar dalam rakaman mindaku. Semoga dapat kusebarkan ilmu ini kepada ummah pada suatu hari nanti. Atau mungkin juga sekarang?

[1] Hadis sahih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah.
[2] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Lihat: Ahkamun Nisa’, m/s 39.

Ameenmuslim Facebook